2012 di dalam 2013


Coretan 2012.

Assalamualaikum WBT…Salam 1Malaysia…ecehhh..

Tirai 2012 telah pun dilabuhkan dan tirai 2013 telah disingkapkan dengan jayanya pada hari ini, 1hb January 2013.

Saya tahu saya bukanlah seorang blogger yang aktif, terkenal, popular, feymesss, cemerlang, gemilang atau terbilang, tapi sebagai seorang yang mempunyai akaun blogspot, maka hak menulis adalah hak saya, tak kiralah kalau bahasa saya tidak seindah dan sepuitis bahasa para penulis atau blogger yang tersohor.

2012, 12 bulan dan 366 hari kerana tahun lompat meninggalkan kesan yang mendalam dalam hidup saya. Ini adalah kerana ia merupakan tahun pertama umur saya mencecah ke angka 3, atau nama komersialnya “3 series”. Terlalu banyak perkara yang terjadi dalam hidup saya, terlalu banyak yang saya pelajari, terlalu banyak yang saya hadapi, pendek kata terlalu banyak untuk segalanya.

Tahun ini adalah tahun di mana saya belajar untuk menjadi lebih matang dan lebih dewasa, bukan selama ni tak matang, tapi matang dalam erti kata menjadi lebih bijak untuk memerhati, menilai, menerima, mengadaptasi dan menghargai. Matang dalam erti kata mempelbagaikan persepektif untuk melihat sesuatu perkara. Matang dalam menguruskan kegembiraan dan kesedihan. Matang dalam merungkaikan persoalan di hati.

Walaupun kematangan adalah sesuatu perkara yang saya pelajari, tetapi kalau tidak disertai dengan kekuatan hati dan akal, maka ianya tidak akan bermakna. Tidak bermakna fizikal anda kuat, anda kuat dalam serba-serbi. Ya,secara fizikalnya saya tak rasa saya kuat. Tetapi jika diukur mengikut hati dan akal, saya yakin saya terlalu kuat, terlalu kuat sehingga saya sangat cekal. Terlalu kuat sehingga ada kawan-kawan mengatakan saya seorang yang hati kering dan tidak berperasaan. Terlalu kuat sehingga orang mengatakan saya sarkastik. Terlalu kuat sehingga orang menyangkakan saya tidak mempunyai sensitivity dan berperasaan halus untuk mengeluarkan air mata. Salah saya ke untuk semua gelaran di atas? Kalau bukan salah saya, salah siapa sehingga saya menjadi seperti di atas? Ya, semua di atas terjadi dengan bersebab. Semua di atas terjadi atas pengalaman-pengalaman yang lampau. Jadi, adalah wajar saya menyalahkan orang lain kan? Saya salahkan orang lain kerana menyebabkan saya menjadi seperti di atas. Ya, itu adalah jawapan tipikal kalau saya tidak matang. Bila saya tidak matang, memang saya akan menyalahkan orang lain, keadaan sekeliling dan takdir. Tapi, kerana kematangan, maka saya mampu memandang semua peristiwa buruk, suka dan duka dalam pelbagai perspektif.

Saya akui pengalaman lampau saya sangat buruk. Ditinggalkan,meninggalkan, ditikam belakang, tidak dihargai, dipermainkan dan banyak lagi (malas nak cerita sebab nnt over page), maka adalah wajar untuk saya jadi seperti saya sekarang. Tetapi, saya yakin ada sebab kenapa Allah Taala mahukan saya melalui semua perkara yang telah ditetapkan untuk saya. Jawapannya mudah, kerana DIA sayangkan saya. Kerana semua ini, saya menjadi kuat. Kerana semua ini saya menjadi matang. Kerana semua ini, saya lebih menghargai kehidupan saya, kehidupan orang lain, dan alam sekeliling. Kerana semua ini saya diberi kebijaksanaan. Kerana semua ini saya menjadi lebih positif. Alhamdulillah, syukur ke hadratMu Ya Allah, yang maha pengasih dan maha penyayang.

Kesimpulannya di sini, kematangan. Kematangan menjadikan kita manusia yang lebih bijak dan berguna. Dan apabila kita bersikap matang, kekuatan hati, akal dan fikiran harus dipertingkatkan agar semua dugaan, cabaran dan persoalan hidup dapat diharungi dengan gembira. Jangan bergantung kepada takdir, kerana itu akan menjadikan kita lemah dan malas. Dan paling penting sekali, berdoa. Kerana usaha tanpa doa itu adalah sombong. Jagalah hubungan kita dengan Tuhan, maka Tuhan akan menjaga hubungan kita dengan semua orang. Sekian.

Selamat Tahun Baru 2013! ;)