Coretan 2012.
Assalamualaikum WBT…Salam 1Malaysia…ecehhh..
Tirai 2012 telah pun dilabuhkan dan tirai 2013 telah
disingkapkan dengan jayanya pada hari ini, 1hb January 2013.
Saya tahu saya bukanlah seorang blogger yang aktif,
terkenal, popular, feymesss, cemerlang, gemilang atau terbilang, tapi sebagai
seorang yang mempunyai akaun blogspot, maka hak menulis adalah hak saya, tak
kiralah kalau bahasa saya tidak seindah dan sepuitis bahasa para penulis atau
blogger yang tersohor.
2012, 12 bulan dan 366 hari kerana tahun lompat meninggalkan
kesan yang mendalam dalam hidup saya. Ini adalah kerana ia merupakan tahun
pertama umur saya mencecah ke angka 3, atau nama komersialnya “3 series”. Terlalu
banyak perkara yang terjadi dalam hidup saya, terlalu banyak yang saya
pelajari, terlalu banyak yang saya hadapi, pendek kata terlalu banyak untuk
segalanya.
Tahun ini adalah tahun di mana saya belajar untuk menjadi
lebih matang dan lebih dewasa, bukan selama ni tak matang, tapi matang dalam
erti kata menjadi lebih bijak untuk memerhati, menilai, menerima, mengadaptasi
dan menghargai. Matang dalam erti kata mempelbagaikan persepektif untuk melihat
sesuatu perkara. Matang dalam menguruskan kegembiraan dan kesedihan. Matang dalam
merungkaikan persoalan di hati.
Walaupun kematangan adalah sesuatu perkara yang saya
pelajari, tetapi kalau tidak disertai dengan kekuatan hati dan akal, maka ianya
tidak akan bermakna. Tidak bermakna fizikal anda kuat, anda kuat dalam
serba-serbi. Ya,secara fizikalnya saya tak rasa saya kuat. Tetapi jika diukur
mengikut hati dan akal, saya yakin saya terlalu kuat, terlalu kuat sehingga
saya sangat cekal. Terlalu kuat sehingga ada kawan-kawan mengatakan saya
seorang yang hati kering dan tidak berperasaan. Terlalu kuat sehingga orang
mengatakan saya sarkastik. Terlalu kuat sehingga orang menyangkakan saya tidak
mempunyai sensitivity dan berperasaan halus untuk mengeluarkan air mata. Salah saya
ke untuk semua gelaran di atas? Kalau bukan salah saya, salah siapa sehingga
saya menjadi seperti di atas? Ya, semua di atas terjadi dengan bersebab. Semua di
atas terjadi atas pengalaman-pengalaman yang lampau. Jadi, adalah wajar saya
menyalahkan orang lain kan? Saya salahkan orang lain kerana menyebabkan saya
menjadi seperti di atas. Ya, itu adalah jawapan tipikal kalau saya tidak
matang. Bila saya tidak matang, memang saya akan menyalahkan orang lain,
keadaan sekeliling dan takdir. Tapi, kerana kematangan, maka saya mampu
memandang semua peristiwa buruk, suka dan duka dalam pelbagai perspektif.
Saya akui pengalaman lampau saya sangat buruk. Ditinggalkan,meninggalkan,
ditikam belakang, tidak dihargai, dipermainkan dan banyak lagi (malas nak
cerita sebab nnt over page), maka adalah wajar untuk saya jadi seperti saya
sekarang. Tetapi, saya yakin ada sebab kenapa Allah Taala mahukan saya melalui
semua perkara yang telah ditetapkan untuk saya. Jawapannya mudah, kerana DIA
sayangkan saya. Kerana semua ini, saya menjadi kuat. Kerana semua ini saya
menjadi matang. Kerana semua ini, saya lebih menghargai kehidupan saya,
kehidupan orang lain, dan alam sekeliling. Kerana semua ini saya diberi
kebijaksanaan. Kerana semua ini saya menjadi lebih positif. Alhamdulillah,
syukur ke hadratMu Ya Allah, yang maha pengasih dan maha penyayang.
Kesimpulannya di sini, kematangan. Kematangan menjadikan
kita manusia yang lebih bijak dan berguna. Dan apabila kita bersikap matang,
kekuatan hati, akal dan fikiran harus dipertingkatkan agar semua dugaan,
cabaran dan persoalan hidup dapat diharungi dengan gembira. Jangan bergantung
kepada takdir, kerana itu akan menjadikan kita lemah dan malas. Dan paling
penting sekali, berdoa. Kerana usaha tanpa doa itu adalah sombong. Jagalah hubungan
kita dengan Tuhan, maka Tuhan akan menjaga hubungan kita dengan semua orang.
Sekian.
Selamat Tahun Baru 2013! ;)